KLICF Platform Teroka Pasaran Antarabangsa

KLICF Platform Teroka Pasaran Antarabangsa

AGAK bising suasana di dalam sebuah khemah A yang menempatkan pelbagai barangan jualan, namun ia sedikit pun tidak mengganggu tumpuan wanita ini. Malah, matanya begitu khusyuk melihat setiap motif yang disulam kemas pada sehelai hamparan kain. Tidak cukup dengan itu, Roslima Sinin, 39, membelek pula fabrik yang dilipat cantik di sudut penjuru booth berkenaan.

“Cantik sangat. Saya memang meminati produk negara Uzbekistan seperti alas meja yang disulam pelbagai motif. Ia dipanggil ‘suzani’ dalam bahasa Uzbekistan maksudnya sulaman dan kualitinya sangat bagus. Bahkan saya diberitahu ada alas meja itu mengambil masa setahun untuk disiapkan kerana ia 100 peratus hasil tangan.

“Jadi, apabila dapat tahu mengenai festival ini saya terus bawa satu keluarga ke sini kerana hendak pergi ke negara itu bukannya murah,” katanya ketika ditemui. Cikgu Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Cheras ini melihat Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2016 yang berlangsung baru-baru ini sebagai platform terbaik bagi mendapatkan barangan kraf tempatan mahupun antarabangsa.

Istimewanya, produk kraf dari negara Uzbekistan bukanlah satu-satunya tarikan sepanjang KLICF berlangsung empat hari, bermula 24 hingga 27 November lalu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Tetapi, pelbagai pengalaman menarik dan berharga berjaya menggamit perhatian penggemar dan pencinta dunia kraf apabila festival kali kedua ini menghimpunkan koleksi fabrik yang sungguh unik daripada 450 usahawan dari 27 buah negara.

Semuanya di bawah satu bumbung. Hanya dengan menerokai Kompleks Kraf, produk seni tekstil negara Malaysia, Argentina, Azerbaijan, Czech Republic, Ecuador, Mesir, Ghana, Hungary, India, Indonesia, Iran, Kazakhstan, Kenya, Mauritius, Mexico, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Syria, Thailand, Turki, United Kingdom, Uzbekistan dan Colombia boleh didapati di festival tersebut.

Inilah keunikan yang ditawarkan KLICF. Tidak perlu berbelanja besar untuk pergi ke setiap negara berkenaan bagi mendapatkan produk kraf diingini, festival anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) ini wajar dipuji. Apatah lagi, ia mempunyai matlamat sangat besar iaitu mempromosikan keistimewaan hasil seni tempatan ke peringkat antarabangsa selain turut sama mempromosikan keunikan produk kraf luar negara.

“Buat julung kalinya, kami ketengahkan koleksi fabrik dengan kepelbagaian corak dan rekaan yang dihasilkan negara peserta pada KLICF kali ini,” kata Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Zuraida Mokhtar. Sebelum ini, KLICF tidak mengkhususkan kepada mana-mana produk kraf tertentu seperti mana tahun ini yang mana tumpuannya lebih diberikan kepada beraneka jenis fabrik.

Maka, tidak menghairankanlah apabila keunikan produk kraf dari 27 buah negara itu turut menarik perhatian Ismail Abdul Mutalib, 52, dan isterinya, Siti Mariam Mustaffa, 51 tahun. Sebagai seorang pensyarah sambilan di Institut Kraf Negara (IKN), Ismail sentiasa memastikan dirinya lengkap dengan pengetahuan luas motif, dekorasi seni, perkembangan kraf untuk diaplikasikan dalam pengajarannya.

Disebabkan itu, beliau menganggap KLICF sebagai medium terbaik untuk meneliti dan melihat lebih dekat kepelbagaian rekaan luar negara. Misalnya, corak pada lampu Ottoman Turki yang sangat terkenal, himpunan kain India, beg buatan tangan, sikat tradisional, cadar katil bersulamkan motif budaya masing-masing yang boleh didapati dengan mudah di festival ini.

Bagaimanapun, tidak lengkap sekiranya sesuatu festival itu tidak menyediakan demonstrasi kraf. Justeru, pengisian KLICF 2016 turut menyaksikan sebanyak 15 demonstrasi kraf tempatan meliputi pembuatan acuan, mencanting batik, tenunan Pahang Diraja, tekatan benang emas dan sulaman keringkam. Manakala, 12 demonstrasi kraf antarabangsa seperti pembuatan beg dari Myanmar, perhiasan diri menggunakan bahan organik dari Equador dan tenunan ikat sumba Indonesia.

“Saya sungguh teruja melihat cara menenun ikat sumba Indonesia sehingga teringin hendak belajar. Keistimewaannya, pada benang mereka. Saya juga penenun tetapi benang yang beraneka warna perlu digunakan untuk menenun motif hiasan pada permukaan kain. Tetapi, mereka tidak kerana sudah ada corak pada benang itu,” kata Vilianna Mozimal dari Sabah.

“Ia satu acara yang menarik, yang memperlihat pelbagai budaya dan kemahiran. Setiap booth menawarkan keunikan yang berbeza. Saya juga suka melihat produk rotan. Ia sesuatu yang belum pernah saya dengar. Proses membuat produk rotan amat unik dan tidak terdapat di negara saya,” kata Lilian dari Kenya. – BERNAMA

Leave a Reply