​KLICF 2016 Buka Tirai Dengan Penyertaan 33 Negara

KUALA LUMPUR: Penggemar kraf dan budaya berpeluang menyaksikan pameran, pertunjukan dan membeli-belah produk terpilih pada Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2016 yang membuka tirainya esok.

Ia berlangsung pada 24 hingga 27 November di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Menariknya, KLICF 2016 kali ke-2 ini menampilkan skala lebih besar dengan penglibatan 450 usahawan kraf dari 33 negara seperti Argentina, Iran, Ghana, Palestin, Singapura, Sri Lanka, India dan Hungary.

Antara aktiviti yang akan diadakan ialah demonstrasi kraf seperti tenunan songket; pembuatan seramik (India); hiasan diri daripada bahan organik (Ecuador); pertunjukan fesyen, jahitan dan sulaman tampal; persembahan kesenian dan pertandingan membabitkan festival itu.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Zuraida Othman berkata, KLICF 2016 menerima respons positif daripada peserta dan pelawat.

“Kami percaya KLICH 2016 mampu menjadi platform kepada usahawan kraf tempatan berkongsi pengalaman dan bertukar ilmu pengetahuan. Kali ini kami mendapat respons secara langsung daripada usahawan kraf luar negara yang amat berminat menyertai festival ini,” katanya.

Beliau juga mengakui KLICF 2016 menyasarkan menjana jualan sebanyak RM20 juta berbanding RM13 juta tahun lalu.

Ini susulan peningkatan pempamer antarabangsa selain pelbagai usaha dilakukan untuk tujuan promosi.

Industri kraftangan merupakan sebahagian ekonomi kreatif dan rekod penjualan produk kraf sejak Januari 2011 hingga Julai 2015 mencecah RM1.73 bilion.

Ia peningkatan sebanyak 104% daripada sasaran Ranca­ngan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu RM 1.67 bilion.

Berdasarkan data global Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) dalam ekonomi kreatif 2013, produk kreatif menyumbang kepada AS$450 bilion dengan AS$35 bilion merupakan barangan seni dan kraf.

Industri kraf di Malaysia masih mempunyai peluang yang luas untuk diteroka kerana nilai estetika tersendiri yang mampu menjadi pelengkap kepada sektor ini.

– FMT

Leave a Reply